SERAMAI 550 PENERIMA BAGI FASA PERTAMA BR1M KAWASAN DUN SIKAMAT
Seramai 550 menerima baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia bagi fasa pertama di kawasan Dewan Undangan Negeri Sikamat yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan yang diadakan di Dewan Kolej Tafe, Sikamat pada 3 Februari lalu.
Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, penyampaian baucar berkenaan adalah kepada pemohon yang telahmenghantar borang mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Negeri Sembilan bermula pada 10 hingga 27 Disember lalu.
Bagaimanapun, bagi yang belum menerima maklumbalas mengenai permohonan mereka, pihak LHDN sedang dalam proses kelulusan, manakala bagi yang belum memohon, mereka masih boleh mengisi borang permohonan dan bagi yang gagal, rayuan boleh dibuat sebelum 15 Februari 2012.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Dato’ Haji Mohammad Razi Bin Haji Kail, Pengerusi Jawatakuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam, Dato’ Siow Chen Pin dan Pegawai Daerah Seremban, Encik Hasnul Bin Mohamed.
Facebook MB medium terbaik rakyat
- Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laman Facebooknya merupakan medium terbaik untuk rakyat di negeri ini untuk mengutarakan apa juga pandangan mengenai sesuatu isu.
Mohamad yang mempunyai tiga akaun laman sosial itu menjelaskan, cara itu lebih mudah untuk mengetahui apa juga masalah dan mendapatkan pandangan daripada orang ramai mengenai hal-hal berbangkit.
Jelas beliau, melaluinya juga pelbagai kerenah birokrasi yang seringkali menghantui orang ramai ketika berurusan dengan jabatan dapat dikurangkan.
”Cara ini amat berkesan kerana bukan sahaja saya dapat maklumat dari satu sumber sahaja tetapi kenalan saya dalam Facebook juga dapat memberikan maklumat mengenai apa juga masalah ataupun isu yang dihadapi mereka di kawasan setempat.
”Mana-mana kawasan dimaklumkan menghadapi masalah, saya akan menghubungi ketua kampung ataupun JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) untuk mengetahui hal sebenar dan sekiranya didapati benar, tindakan susulan akan diambil bagi mengatasinya,” kata beliau di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, antara permasalahan yang diselesaikan termasuklah isu bekalan air di 30 buah rumah penduduk Kampung Datuk Mohd. Said di Kilometer 4, Jalan Labu dekat sini yang tidak mendapat bekalan air sejak 40 tahun lalu.
Namun, beliau berkata, kesemua maklumat yang diperolehnya itu tidak sama sekali membelakangkan pemimpin di peringkat akar umbi sebaliknya, mereka akan dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
”Saya harap pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung dapat menggunakan Facebook untuk menghubungi saya secara terus kerana kita telah beli latihan kepada mereka mengendalikan laman berkenaan melalui akaun masing-masing.
”Sebarang cadangan, mereka boleh utarakan secara terus kepada saya supaya dan saya berharap mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya laman sosial ini,” katanya.
Sumber Utusan Malaysia..
Kerjasama penduduk amat perlu
Masalah banjir kilat di Temiang dan Sikamat dekat sini mampu diatasi sekiranya pemimpin setempat dapat menyakinkan penduduk merobohkan binaan yang dibuat di tebing sungai.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan jentera berat dibawa masuk untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang dapat menghalang banjir.
Beliau berkata, beberapa percubaan telah dibuat sebelum ini bagi membawa masuk jentera tersebut tetapi gagal berikutan binaan yang terlalu rapat di tebing sungai.
“Masalah bertambah teruk apabila ada dalang daripada parti pembangkang yang cuba menjadi hero sehingga penduduk enggan membenarkan jentera masuk untuk membuat penyelenggaraan,” katanya kepada para pemberita selepas melawat Kampung Baru Sikamat dekat sini hari ini.
Sebanyak 18 rumah di kampung berkenaan dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pada kira-kira pukul 5 petang semalam.
Dalam kejadian itu, rumah penduduk dinaiki air sehingga paras 0.9 meter sebelum air surut kira-kira 90 minit kemudian.
Banjir kilat turut melanda beberapa kawasan di pusat bandar itu.
Mohamad berkata, banjir kilat itu melanda akibat jumlah air hujan yang tinggi selain keadaan Sungai Temiang yang melalui kampung berkenaan yang agak sempit dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
Menurutnya, kerajaan sudah bersiap sedia melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai di situ dengan segera sekiranya penduduk bekerjasama merobohkan binaan di tebing sungai.
“Saya juga meminta penduduk tidak membuang sampah ke dalam sungai kerana ia juga adalah punca banjir kilat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sikamat, Wong Phui Kan berkata, beliau akan berunding dengan penduduk kampung itu supaya bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa merobohkan binaan di tebing sungai.
“Masalah ini sudah lama berlaku dan saya harap kali ini penduduk akan bersetuju dengan permintaan supaya binaan tersebut dirobohkan,” katanya.
Sumber Utusan Malaysia
