Langgan: Artikel | Komen

PENDUDUK KAMPUNG ABOK DAPAT RUMAH

0 komen
PENDUDUK KAMPUNG ABOK DAPAT RUMAH

SUMBER: BERITA HARIAN

SEREMBAN: Seramai 100 penduduk asal Kampung Abok di Rahang dekat sini, mendapat `durian runtuh’ apabila ditawarkan memiliki rumah kos sederhana pada harga antara RM50,000 hingga RM52,000 berbanding harga pasaran RM100,000.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Kerajaan Negeri menanggung subsidi sebanyak RM6 juta, manakala Kerajaan Pusat memberi geran RM10 juta  untuk melaksanakan projek 150 unit rumah bernilai RM19.9 juta itu.

Katanya, penduduk boleh memiliki rumah dengan dua cara, iaitu membeli terus dengan syarat tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun, manakala cara kedua adalah sewa beli dengan  membayar antara RM191 hingga RM198 sebulan selama 25 tahun.

“Cara sewa beli adalah harga yang dikenakan tanpa faedah, tetapi tinggi sedikit kerana termasuk kos pentadbiran dan penyelenggaraan rumah.

“Apa pun, ini adalah hadiah kerajaan negeri kepada penduduk Kampung Abok yang bertuah selepas mengambil pertimbangan banyak perkara, termasuk mendapati ada kalangan penduduk adalah golongan miskin dan warga taua.

“Walaupun harga yang ditawarkan sebelum ini adalah RM72,000 tetapi selepas menyiasat dan berbincang, kita bersetuju menawarkan harga jauh lebih rendah. Saya yakin harga ini mampu dibayar semua penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang m edia selepas majlis penyerahan surat tawaran kepada penduduk rumah mampu milik berkualiti Kampung Abok, Rahang di sini, kelmarin.

Projek yang dimajukan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dibina berhampiran kampong asal penduduk yang asalnya adalah kawasan setinggan. Mereka setuju berpindah bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya Lingkaran Tengah Seremban.

Sementara itu, peniaga, Thong Un Thong, 70, gembira dengan harga yang ditawarkan kerana jauh lebih murah berbanding harga asal dan yakin mampu membayarnya.

“Saya rasa seperti terkena ‘loteri’ apabila diberitahu harga rumah yang ditawarkan amat murah. Memandangkan umur sudah lanjut, saya harap anak-anak juga akan membantu membayar ansuran bulanan rumah ini,” katanya.

Orang Kelainan Upaya (OKU) Mohd Nazir Siddiq, 43, mengaku terkejut mendengar pengumuman mengenai harga rumah yang ditawarkan.

“Saya tidak sangka harga jauh lebih rendah. Saya bersyukur dan berterima kasih pada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri kerana amat memahami kesusahan kami,” katanya.

FOTO: LEONG WENG ONN


KEKAL PADANG AWAM MPS

0 komen
KEKAL PADANG AWAM MPS

SUMBER: HARIAN METRO

SEREMBAN: “Kita tidak akan korbankan padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) apabila ia dibangunkan di kawasan bawah tanah di situ untuk menjadi tempat letak kereta kelak,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan menemui juru perunding bagi membincangkan secara terperinci mengenai cadangan membina kemudahan itu, sekaligus mengetahui kedudukan keseluruhan projek berkenaan.

“Setakat ini, kita tidak mengetahui kos yang diperlukan bagi melaksanakan projek itu. Namun, kita akan mendapatkan pandangan terlebih dulu dariapda juruperunding mengenai struktur dan pembangunan yang bakal dilakukan.

“Kerajaan negeri mendapati lokasi itu strategic kerana terletak di tengah pusat bandar dan berhampiran stesen komuter serta bas yang bakal memberi kemudahan kepada orang ramai untuk berurusan di kedua-dua lokasi tumpuan awam berkenaan.

“Kita menjangkakan kawasan itu nanti mampu mewujudkan kira-kira 2,000 tempat letak kereta dan akan dapat mengatasi masalah kekurangan kemudahan itu yang didapati agak kritikal di bandar Seremban ketika ini,” katanya selepas menyampaikan bantuan kebajikan di Wisma Negeri di sini, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya akan menjadikan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, sebagai contoh pembinaan itu yang turut mempunyai beberapa kemudahan antaranya restoran dan kemudahan lain.

“Justeru, padang awam MPS sedia ada di situ akan terus dikekalkan kerana ia penting untuk pelbagai aktiviti dan majlis rasmi selain kegiatan sukan yang digunakan sejak sekian lama.

“Projek itu nanti yang mungkin akan mengambil masa selama 24 bulan untuk disiapkan, sekaligus memberi nilai tambah keapda status bandar Seremban selain bakal menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Berkaitan pembiayaan melaksanakan projek terbabit, beliau berkata, ada kemungkinan pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada kerajaan pusat atau institusi kewangan.

“Bagaimanapun, semua itu belum dapat ditentukan lagi dan gambaran jelas akan dapat diketahui selepas perbincangan dengan juru perunding nanti,” katanya.

FOTO: LEONG WENG ONN


RANGKA 3 PELAN TINDAKAN

0 komen
RANGKA 3 PELAN TINDAKAN

SUMBER: HARIAN METRO

SEREMBAN: Kerajaan negeri tidak akan terburu-buru untuk mengisytiharkan bandar ini sebagai bandaraya walaupun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memberi kelulusan terhadap perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya memberi tempoh selama setahun untuk merangka tiga pelan tindakan sebelum Seremban boleh diisytiharkan sebagai bandaraya.

Menurut beliau, tiga pelan tindakan itu ialah mengenalpasti atur cara pengisytiharan, menyelesaikan segala permasalahan berkaitan terutama membabitkan kepentingan penduduk daerah ini dan mengenalpasti keperluan kemudahan prasarana sesuai dengan sebuah bandaraya.

“Kami memberi tempoh selama kira-kira setahun untuk membuat persiapan bagi pengisytiharan itu. Sudah tentu banyak yang perlu dilakukan terutama dari segi kemudahan prasarana selain masalah membabitkan keselesaan penduduk.

“Ini kerana kami tidak mahu selepas Seremban diisytiharkan sebagai bandaraya, masih terdapat pelbagai masalah seperti banjir dan setinggan yang tidak diatasi selain kemudahan prasarana tidak mencapai tahap terbaik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini, semalam.

Mohamad berkata, kerajaan negeri belum berpuas hati dengan kemudahan awam disediakan seperti masalah kesesakan lalu lintas, tempat meletak kenderaan, ketiadaan lampu jalan, jalan rosak dan longkang.

“Semua itu perludipertingkatkan lagi dan apabila dapat diselesaikan, kami akan mengisytiharkan gabungan ini menjadi bandaraya,” katanya.

Menurutnya, system penyampaian jabatan kerajaan juga perlu berada di tahap terbaik dan memuaskan bersesuaian dengan status bandaraya.

“Kakitangan jabatan kerajaan negeri harus memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan perkhidmatan diberikan mencapai tahap cemerlang dan memuaskan hati semua pihak.

“Ini penting kerana rakyat sememangnya mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada kakitangan kerajaan, malah saya yakin jika terdapat kenaikan cukai tertentu selepas dinaikkan taraf bandaraya, orang ramai akan akur kerana selaras dengan tahap perkhidmatan diberikan,” katanya.

FOTO: LEONG WENG ONN


« Previous Entries Next Entries »