Facebook MB medium terbaik rakyat
- Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laman Facebooknya merupakan medium terbaik untuk rakyat di negeri ini untuk mengutarakan apa juga pandangan mengenai sesuatu isu.
Mohamad yang mempunyai tiga akaun laman sosial itu menjelaskan, cara itu lebih mudah untuk mengetahui apa juga masalah dan mendapatkan pandangan daripada orang ramai mengenai hal-hal berbangkit.
Jelas beliau, melaluinya juga pelbagai kerenah birokrasi yang seringkali menghantui orang ramai ketika berurusan dengan jabatan dapat dikurangkan.
”Cara ini amat berkesan kerana bukan sahaja saya dapat maklumat dari satu sumber sahaja tetapi kenalan saya dalam Facebook juga dapat memberikan maklumat mengenai apa juga masalah ataupun isu yang dihadapi mereka di kawasan setempat.
”Mana-mana kawasan dimaklumkan menghadapi masalah, saya akan menghubungi ketua kampung ataupun JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) untuk mengetahui hal sebenar dan sekiranya didapati benar, tindakan susulan akan diambil bagi mengatasinya,” kata beliau di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, antara permasalahan yang diselesaikan termasuklah isu bekalan air di 30 buah rumah penduduk Kampung Datuk Mohd. Said di Kilometer 4, Jalan Labu dekat sini yang tidak mendapat bekalan air sejak 40 tahun lalu.
Namun, beliau berkata, kesemua maklumat yang diperolehnya itu tidak sama sekali membelakangkan pemimpin di peringkat akar umbi sebaliknya, mereka akan dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
”Saya harap pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung dapat menggunakan Facebook untuk menghubungi saya secara terus kerana kita telah beli latihan kepada mereka mengendalikan laman berkenaan melalui akaun masing-masing.
”Sebarang cadangan, mereka boleh utarakan secara terus kepada saya supaya dan saya berharap mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya laman sosial ini,” katanya.
Sumber Utusan Malaysia..












